Pages

Thursday, December 8, 2011

Usrah nombor berapa?

Salam alaik tak pernah mencoretkan tinta lagi di sini. InsyaAllah akan saya usahakan selepas ini. InsyaAllah. Saya baru nak panas enjin ni. Saya just nak share satu post yang sangat relevan untuk kita semua insyaAllah ^_______^


Pinjam dari sini


Jam menunjukkan pukul 5.45 pagi. Iphone disebelah telinga Saleha( bukan nama sebenar) berdering dengan nada dering Marimba tanpa henti. Bila dilihat pada skrin iphone, tertera nama naqibahnya. Naqibah kejut bangun subuh rupanya. Pukul 6 ada kuliah online di Skype. Saleha lantas tidak mempedulikan panggilan daripada kakak naqibahnya yang saban hari telefon kejutkan dia untuk solat subuh.

Bagi Saleha, dia mahu berubah perlahan-lahan. Dia tidak suka berubah secara terpaksa. Kenapa kakak naqibah dia beria-ria sangat nak kejutkan dia bangun subuh. Kalau dia solat subuh lambat pun dosa atas kepala dia, bukan naqibah dia yang tanggung. Dia pelik melihat kesungguhan kakak naqibahnya yang tidak pernah jemu kejutkan dia untuk mendengar kuliah online setiap pagi Isnin.

Cerita diatas hanyalah rekaan. Namun ingin saya tanyakan. Pernah tak anda mengalami situasi sebegitu? Pernah tak anda rasa bosan bila naqibah anda kerap kali telefon bertanya khabar, kejutkan solat subuh dan beritahu maklumat kalau-kalau ada kuliah online yang boleh didengar. Sampai satu tahap anda rasa bosan dan tertanya-tanya kenapa naqibah anda semangat sangat nak suruh anda pergi usrah, pergi program dan dengar kuliah-kuliah online?

Sedangkan kita kadang-kadang meletakkan usrah atau program itu ditangga kedua atau ketiga dalam pilihan hidup anda.

” Weekend ni ada program di Yamanashi.” – Beritahu naqibah.

” Ooo tengok la dulu macam mana. Kalau tak ada kerja saya pergi kot.” – ada atau tidak antara kita yang jawab begini.

” Tak boleh pergi la kak sebab dah janji dengan kawan nak pergi jalan-jalan tengok pertunjukkan anak patung di Tokyo.” – ada atau tidak antara kita yang jawab sebegini.

Entah dimana agaknya kita letak nilai usrah atau program yang mampu membentuk tarbiyyah diri kita ini. Sampai ia boleh kalah dengan hanya sesi pertunjukkan anak patung yang tiada nilai.

Ada satu cerita;

Satu ketika, di musim sejuk di satu tempat di OZ. anak usrah saya semua tak datang usrah. Sbb? kerana ada majlis sambutan yang di adakan oleh kawan mereka. saya sangat kecewa. ketika saya datang jauh puluhan km untuk tiba ke tempat mereka, tiba-tiba mereka tidak hadir…. ketika itu saya sangat kecewa. Saya menuliskan catatan ini dan di emelkan pada mereka. Ia dituliskan pada 15 ogos 2003.

Selepas itu, ianya tidak berulang lagi. alhamdulillah.. semua mereka kini berada di medan dakwah dan aktif sebagai mujahid/ah di ruang jihad yang pelbagai.

Assalamu’alaikum.

saya rasa mungkin kita tak payah lagi mengadakan usrah utk kali akan datang..kerana rasanya majlis harilahir lebih penting dari usrah… Selepas ni mungkin ada lagi majlis lain yang perlu dihadiri… usrah hanyalah untuk masa tak sibuk, tak ada kerja lain, lapang dan ketika tak letih.

Usrah bukan penting sangat. Kalau ada kerja lain..tak payahlah datang usrah. Saya boleh terima alasan orang tak boleh hadiri usrahkerana sakit, kerana pelajaran yang mendesak, kerana sebab yang munasabah… tetapi tak boleh terima alasan hanya kerana hadiri majlis sosial.Sampai bila usrah jadi kelas kedua dan ketiga… Kenapa orang tak boleh memberi alasan tidak dapat hadir majlis sosial kerana ada usrah tetapi boleh memberi alasan tak boleh hadir usrah kerana ada majlis sosial…?

Saya rasa tak payahlah kita mengadakan usrah jika ia hanya duduk ditangga kedua, ketiga dan keempat. Anda semua telah mengecewakan saya….

Wallahu ‘a’alam.

Wassalam.

Ustaz yang masih menyanyangi mu lagi… walaupun apa yang berlaku.

- saya petik dari sini.

Lihatlah telusnya seorang naqib meluah perasaan kepada anak usrahnya. Hanya satu emel mampu buat anak-anak usrah beliau tidak lagi menjadikan usrah ini perkara nombor dua tiga dan seterusnya.

Dua cerita berbeza yang menyingkap kisah kesungguhan seorang murabbi ( naqib dan naqibah) yang mahu anak-anak usrahnya sentiasa terus berhubung dengan tarbiyyah.

Usrah, bukan sesuatu yang biasa-biasa. Usrah ini sesi kita belajar tentang ilmu mengenal Allah untuk kita pratikkan dalam kehidupan kita.

Baca ayat ini dan fikirlah.

” Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah Yang Mahakaya ( tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.” [ Al-Fatir 35:15]

Allah tidak memerlukan kita, Islam juga tidak akan pernah rugi tanpa kita yang riak dan sombong dengan kehidupan dunia semata. Allah pasti akan beri kejayaan kepada Islam. Allah pasti akan beri balasan nikmatnya syurga kepada hamba-Nya yang sentiasa mencari kebaikan akhirat. Allah tidak rugi pun kalau kita menolak dari bersama-sama dalam jalan mamperjuangkan Islam, malah Allah menggantikan kita dengan kaum yang lain.

” Maka jika kamu berpaling, maka sungguh, aku telah menyampaikan kepadamu apa yang menjadi tugasku sebagai rasul kepadamu. Dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, sedang kamu tidak dapat mendatangkan mudarat kepada-Nya sedikit pun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pemelihara segala sesuatu.” [ Hud 11:57]

Apabila sampai seru untuk kita melakukan kebaikan, tidak kira samaada berkumpul beramai-ramai sambil mengingati Allah atau memerlukan kita bergerak jauh mencari sedikit bekalan hidup, tapi kita tetap berkeras untuk terus dengan gaya hidup kita. Masih lagi mengisi masa dengan keluar bersiar-siar dengan rakan-rakan tanpa tujuan dengan alasan belum bersedia untuk berdakwah secara serius, maka berilah ruang untuk hati kita menilai balik.

Tidak salah memberi sedikit ruang untuk diri sendiri menikmati indahnya hidup. Tapi jika setiap kali datang seruan untuk kita melakukan kebaikan, kita tetap memilih untuk rasa tidak bersedia dan mengharap akan ada lagi ajakan ke arah kebaikan di masa akan datang, adakah kebaikan itu akan terus mengejar kita?

Berimanlah dengan doa yang kita sebut setiap rakaat dalam solat kita.

” Tunjukilah kami jalan yang lurus.” [ Al-Fatihah : 6]

Hampir setiap waktu kita mohon. Mengapa tidak terlihat pun jalan yang lurus ini?

Sebenarnya sudah banyak kali Allah makbulkan permintaan kita itu. Setiap kali sampainya mesej daripada naqibah mengajak kita usrah atau pergi program, setiap kali menerima panggilan daripada naqibah untuk kita bangun mendengar kuliah online seminggu sekali, setiap kali datangnya ajakan teman-teman untuk kita ke satu program mengingat Allah, setiap kali itulah Allah memakbulkan doa kita moga ditunjukkan jalan yang lurus. Tapi kita menolak, menolak lagi sehingga kita tidak rasa lagi ia sebenarnya petunjuk untuk ke jalan yang Allah redha.

Kalau kita tak berminat nak berusrah tiada siapa akan rugi. Apatah lagi naqibah kita. Dia tidak akan rugi sedikit pun. Hatta jika kita memilih untuk tidak lagi pergi usrah, tidak sedikit pun membuat naqibah kita ketinggalan. Tapi kenapa naqibah kita semangat mahu kita juga berada dalam usrah?

Kerana dia sayang kepada kita. Dia mahu kita juga rasai kemanisan berada di bawah suasana tarbiyyah. Naqibah kita juga manusia. Dia punya masa 24 jam juga sehari. Tapi bagaimana mereka membahagi masa memberi tarbiyyah kepada kita, mencari tarbiyyah untuk diri sendiri juga. Sedang kita, masa untuk tarbiyyah diri kita pun kita pandang enteng.

Sampai bila kita mahu berasalan?

Sampai bila aktiviti jalan-jalan, makan-makan boleh jadi perkara nombor satu dalam kamus hidup kita? Sedang tarbiyyah diri menjadi nombor dua atau tiga?

Sampai bila mahu merasa diri kita belum bersedia berdakwah dengan serius? Apakah ada jalan dakwah yang tidak serius? Tepuk dada tanyalah iman! Baca dan hadam kata-kata Imam Hasan Al-Basri ini;

“Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan”.

Kalau nak menunggu sempurna, manusia mana yang nak mengaku sempurna lantas dia berdakwah. Memang tidak ada manusia yang sempurna, hatta naqib dan naqibah kita sekalipun belum sempurna. Tapi mengapa mereka tetap mahu menyampaikan Islam ini?

Kerana ketika mereka menyampaikan Islam itu, ketika itulah juga mereka beramal dengan apa yang mereka sampaikan. Mereka tidak sempurna, tapi mereka menuju kepada kehidupan yang hampir sempurna. Manusia memang pernah melampaui batas untuuk diri sendiri, seringkali juga bertindak ikut kata hati dan emosi. Tapi Allah sentiasa memberi peluang untuk kita menjadi lebih baik. Tinggalkan jahiliah, jangan toleh ke belakang lagi tapi senyumlah hadapi kehidupan yang lebih baik dihadapan.

” Suka hati lah tak mahu pegi usrah! Kau kisah ape?”

Silakan kalau ini jawapan anda. Tapi mari kita fikir. Bila kita seorang, tidak ada yang menyokong. Dengan seorang diri ini mampukah kita nak baca al-mathurat setiap pagi dan petang? Mampukah kita nak baca al-Quran setiap hari? Bersemangatkah kita nak istiqamah melakukan solat Dhuha setiap hari? Tanpa sahabat-sahabat yang mengingatkan.

Kebanyakan manusia ini, bila sendiri lebih mudah syaitan dekati. Mungkin bersemangat mahu beramal tapi syaitan bijak memujuk untuk bertangguh dalam beramal. Lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan untuk tidak lagi beramal dengan amalan-amalan sunat.

Mengapa perlu usrah? Supaya kita punya sahabat yang mengingatkan. Kalau kamu tetap memilih untuk beramal sorang-sorang, menjadi baik sorang-sorang, silakan :)Cuma saya mahu kongsikan bahawa rasa bahagia berada dalam usrah dan program-program ni tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Ianya sangat bahagia, bila menimba ilmu tentang kehidupan sebenar yang diredhai, kita bersama sahabat disisi :)

Jadi lepas ni boleh kita fikir, mana yang lagi penting untuk kebaikan hidup kita.

” Saya tak boleh join parti hari jadi kawan saya sebab Selasa ni saya ada usrah.”

” Saya tak boleh join awak jalan-jalan tepi pantai sebab weekend ni saya ada program tarbiyyah.”

” Saya kena tidur awal malam ni sebab esok nak bangun awal, ada kuliah online.”

Jawapan-jawapan inilah jawapan orang-orang yang meletakkan tarbiyyah diri nombor satu dalam kehidupannya. :)

No comments:

Post a Comment