Pages

Sunday, August 21, 2011

Tazkirah 16 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

RAMADHAN BULAN AL-QURAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:

“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (Surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:

“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa. Dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Al-Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa pada bulan Ramadan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:

“ Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).” (Surah Al-Baqarah: 185)

Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadan

menjadi kian jelas. Dalam hadis yang telah di sebut di dalam tazkirah semalam juga tertera bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadan:

“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya harian kita pada bulan Ramadan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain Ramadan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan banyaknya ayat yang dibaca tetapi juga mutu bacaan kita. Kita perlu menjaga adab-adab membaca al-Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur (tartil). Allah berfirman:

“ Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya” (Surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:

“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”. (Surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr:

“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari tempoh itu”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari. Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejar-kejaran sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini.

No comments:

Post a Comment