Pages

Saturday, August 27, 2011

Tazkirah 25 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

PUASA & HUDUD

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di dalam Surat Al-Baqarah ayat 183 yang sering dibaca pada awal Ramadan, Allah mewajibkan puasa dengan berfirman:

“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa… "

Perkataan “kutiba ‘alaikum..” yang digunakan mempunyai erti ‘diwajibkan’..
Gaya bahasa “ kutiba”ini telah digunakan oleh Allah dalam ayat-ayat lain.

Misalnya, dalam surah al-Baqarah ayat 178, Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas… (kutiba ‘alaikumulqisas…)

Dalam surah Al-baqarah: 180 pula Allah menyebutkan tentang kewajipan berwasiat:

“Diwajibkan ke atas kamu, apabila sesorang kamu didatangi maut sedang kamu mempunyai harta agar ia berwasiat …(kutiba ‘alaikum…)

Dalam ayat 216 Surah Al-Baqarah pula, disebutkan:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang… (kutiba ‘alaikumul qital …)

Dalam bentuknya yang berlainan sedikit, Allah menyebutkan kewajipan sembahyang dengan firman-Nya dalam Surah Annisa’ayat 103:

“Sesungguhnya solat itu telah diwajibkan ke atas orang mukmimin pada waktu-waktunya yang tertentu (Kitaaban Mauquta) ”.

Ayat-ayat mengenai hukum hudud ‘merompak’ dan ‘mencuri’ disebutkan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 33-34 dan 38-39. Dalam ayat-ayat yang sebelum dan selepas ayat-ayat ini, Allah menerangkan tentang kewajipan hukum-hukum ke atas Bani Israel juga dengan perkataan “katabna” (telah kami wajibkan).

Bentuk ayat yang dengannya Allah mewajibkan puasa adalah sama dengan bentuk ayat Allah di mana Allah menyebutkan beberapa perkara lain; qisas, wasiat, perang. Dalam bentuk yang hampir sama, solat disebutkan sebagai wajib pada waktu yang tertentu. Dalam bentuk yang lain, perkataan “katabna” menjadi sebahagian dari ayat-ayat Allah yang berkaitan dengan hukum-hukum hudud.

Hukum-hukum Islam bersifat sepadu. Kita wajib meyakini kesepaduan hukum-hukum
yang diturunkan oleh Allah; tidak mengambil sebahagian atau menolak sebahagian. Mengambil atau menerima atau mengamalkan sebahagian dari ayat-ayat Allah dan menolak sebahagian lain adalah sama dengan beriman dengan sebahagian dan menolak sebahagian hukum Allah. Allah member amaran seperti tertera dalam firman-Nya di dalam ayat 85 Surah Al-Baqarah:

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian dari Kitab dan kufur terhadap bahagian lain? Tiadalah balasan bagi sesiapa di antara kamu yang melakukan demikian kecuali kehinaan di dalam kehidupan dunia manakala pada hari akhirat mereka di kembalikan kepada azab yang keras”

Ayat ini diturunkan mengenai orang-orang Yahudi di Madinah yang mengamalkan sebahagian suruhan Allah manakala mengabaikan arahan yang lain. Allah menganggap mereka sebagai beriman dengan sebahagian kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain. Bagi mereka yang sedemikian, Allah memberi amaran hukuman di dunia dan akhirat.

Oleh itu, kita perlu bersedia menerima dan mengamalkan bukan sekadar kewajipan puasa dan solat tetapi juga semua hukum-hakam yang terkandung di dalam di dalam syariat yang ter’maktub’ di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi (saw).

Semoga Allah (swt) membantu kita memahami dan mengamalkan agama-Nya.

Friday, August 26, 2011

Tazkirah 24 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

BERLAKU ADIL JUGA SEDEKAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ruang lingkup sedekah seperti yang kita sebutkan sebelum ini amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya. Termasuk di dalam takrifan sedekah tersebut di dalam hadis yang dibaca sebelum ini ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar, atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.

Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan kamu tersebut."(Surah al-Hujurat:6)

Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita.

Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam menyebarkan berita. Kita mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa lagi menyebarkannya.

Dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini pun kadangkala terjadi kita sering terlalu cepat menyebarkan berita mengenai sesuatu sebelum kita memastikan kesahihannya. Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali melibatkan artis dan ahli-ahli politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan kesahihan berita berkenaan.

Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima, mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah sedemikian. Biar siapapun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku.

Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer. Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya.Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan di kalangan pelabur.

Sempena bulan Ramadan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadan ini, marilah kita berdo’a agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

Thursday, August 25, 2011

Tazkirah 23 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

LUASNYA RUANG LINGKUP SEDEKAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan Sedekah, seperti yang telah disebutkan dalam Siri ini (Tazkirah 15 Ramadhan 1431). Kita sudah menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadan ada dinyatakan bahawa “Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an.”

Mungkin ada di antara kita yang melihat bahawa sedekah adalah untuk orang-orang yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang lain.

Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan mencari pahala”. Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba untuk selain dari pahala. Perhatikan hadis ini:

Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) : Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka berkata: Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan pada yang halal, maka baginya pahala (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain:

Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.

Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersedekah terutama pada bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama mengambil berkat dari Bulan Ramadan yang mulia ini.

buat bakal jenazah sekalian......

KEWAFATAN RASULULLAH

Saat-saat kewafatan Rasulullah adalah saat-saat paling menyedihkan buat semua makhluk… Manusia, malaikat, haiwan dan seluruh makhluk ciptaan Allah menunjukkan kesedihan mereka dengan cara masing-masing.

AS-SEBAB RASULULLAH WAFAT

Pada hari pembukaan Kaibar, Zainab binti Al-Harist, isteri Sallam bin Misykam (tokoh Yahudi) telah meletakkan racun pada daging kambing yang dihidangkan pada Rasulullah dan para sahabat. Zainab binti Al-Harist telah meletakkan lebih banyak racun pada bahagian peha apabila mengetahui Rasulullah menyukai bahagian tersebut. Selepas mengigit daging tersebut Baginda memuntahkannya semula apabila daging tersebut memberitahu ia telah diracun. Sahabat baginda, Bisyir bin Al-Barra meninggal kerana memakan daging tersebut. Walaupun racun tersebut tidak dapat membunuh Rasulullah ‘on the spot’ tetapi Rasulullah mendapat ‘side effect’ racun tersebut dan akhirnya, setelah tujuh tahun berlalu, kesan racun tersebut semakin teruk. Oleh itu, berhati-hatilah terhadap golongan yahudi kerana mereka penuh dengan tipu muslihat.

HARI KEJADIAN…

Matahari kian tinggi tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup.

Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?”tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. “Maaflah, ayahku sedang demam” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup daun pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah. “Siapakah itu wahai anakku?”

“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya” tutur Fatimah lembut. Lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. “Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut” kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, Rasulullah menanyakan mengapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. “Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu” kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar inii?” Tanya Jibril. “Khabarkan padaku bagaimana nasib ummatku kelak?”. “Jangan khawatir wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya’,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh baginda bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini” perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali menunduk dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada malaikat pengantar wahyu itu.

“Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah!! Dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada ummatku”. Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi, bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya, “peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah diantaramu”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan ke wajahnya dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

Ummati… Ummati… Ummati…..

Begitulah detik-detik terakhir kekasih Allah.. bagaimana pula kita?? Sedangkan Rasulullah, hamba-Nya yang paling disayangi, tetap merasakan dasyatnya MAUT, bagaimana pula kita?? Dan Rasulullah menyebut ummati3.. kerana bimbangkan kita semua. Rasulullah tidak bimbangkan anak, isteri, sahabat, jiran tetangganya.. tetapi kita!!! Orang-orang yang tidak dikenalinya. Kerana Rasulullah tahu ujian di akhir zaman sangat dasyat. Islam kembali dagang... Islam dipandang aneh... umat Islam ditindas sehingga apabila seorang muslim melalui sebuah kubur.. dia berkata.. "alangkah indahnya jika aku yg menghuni kubur tersebut" urm.. tapi kita x lay mengharap mati bila kita rasa x larat nak hadapi ujian Allah.. Allah x uji kalo tau kita x mampu!!!! Yakin3~

wallahualam.... moga sumer brada dlm redha Allah slalu... salam~

Wednesday, August 24, 2011

Tazkirah 22 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

MEMASUKI FASA KETIGA

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadan. Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia daripada api neraka. Peluang untuk bebas daripada api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan seksa api neraka yang disebutkan oleh Allah:

“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (Surah al-Kahfi: 29)

Tidak semua orang memperolehi nikmat ini; peluang untuk bebas daripada api neraka. Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar orang mati dengan pelbagai sebab. Kita mendengar beberapa orang rakan, kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan kita yang dipanggil menemui Allah setelah beberapa hari berada pada bulan Ramadan. Ada di antara kita yang mengalami sendiri mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (Surah al-Jumuah:8)

Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi kita. Cuma buat masa ini, Allah masih memberi kita waktu untuk dipergunakan untuk menghabiskan sisa-sisa usia kita di muka bumi ini. Allah masih memilih kita untuk menyambung nafas kita seharian dalam bulan mulia ini. Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya manusia akan mengumpulkan tiga perkara ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal berkekalan dengannya selama-lamanya.

Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda:

Tiga perkara mengiringi jenazah; dua darinya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan
amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya. (Hadis Riwayat Muslim)

Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu. Mereka juga akan berkahwin, beranak pinak dan mungkin melupakan kita. Isteri atau suami kita juga bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin menjadi milik orang lain. Yang kekal hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat kita dan amal jariah yang tiga:

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:

Di antara amalan dan kebaikan yang akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran yang diwariskannya, masjid yang didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang digalinya atau sedekah yang dikeluarkannya selagi ia sihat ketika hidupnya, semua itu terus menghubunginya setelah dia meninggal.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sementara kesempatan Allah membolehkan kita menyambung usia kita pada bulan Ramadan ini, marilah kita melihat diri sendiri dan merenung tentang persiapan kita menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena satu pertiga akhir Ramadan ini, marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah, banyakkan kerja kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan didiklah anak-anak kita agar mereka nanti bakal mendoakan kita apabila amalan

Monday, August 22, 2011

Tazkirah 21 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

KEISTIMEWAAN KEDUDUKAN AHLI BADAR

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perang Badar begitu bererti bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya dimuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran“ ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi (saw) yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah. Nabi berkata , “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman : “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Rifaa(ra) meriwayatkan:

Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat:

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut".
(Surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk berkorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):

"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.

Tazkirah 20 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

PERANG BADAR TITIK TOLAK PENTING SEJARAH ISLAM

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadan. Seperti yang disebutkan dalam trazkirah yang lalu, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, berlaku komunikasi secara langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia. Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satu-satunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata-mata. Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tampak tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. Sementelahan itu, 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwan-haiwan
kenderaan tersebut.

Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):

Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesombongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-Mu!”

Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:

Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (Surah al-Baqarah: 249)

Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’ pertama.

Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan member kemenangan kepada mereka.

Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.