Pages

Monday, August 15, 2011

Tazkirah 12 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

MASA UNTUK MENGINGATI SAUDARA KITA DI TEMPAT LAIN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kembali kita kepada isu perpaduan umat seperti kita telah bincangkan dua malam lepas.

Ramadan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan, seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat-merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq, Pakistan dan banyak lagi tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai. Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari. Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan.. Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadan untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita.

Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga." (Hadis Riwayat Muslim dan Termizi)

Saturday, August 13, 2011

Tazkirah 11 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

PINTU MAGHFIRAH TERBUKA LUAS

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita telah berada di fasa kedua Ramadan. Kita telah meninggalkan fasa “rahmat” manakala kita kini memasuki fasa “maghfirah”. Sepuluh hari yang berlalu, kita berharap rahmah, belas kasihan dari Allah. Di hari mendatang, pintu maghfirah Allah terbuka luas menunggu kepulangan hamba-hamba-Nya.
Kita perlu menilai semula, review pencapaian kita. Untuk itu, kita boleh mengambil iktibar dari sebuah kisah yang dinukilkan oleh Sheikh Said Hawa mengenai Al-Hasan bin Abul Hasan al-Bishri. Bahawa beliau ini pada suatu ketika pada bulan Ramadan berjalan melalui satu kelompok manusia yang sedang tertawa sambil bersenda gurau, kemudian al-Hasan berkata:
“Sesungguhnya Allah azzawajalla menjadikan Ramadan sebagai bahan ujian yang tersembunyi bagi seluruh makhluk-Nya. Semua orang sama berlumbalumba, atau dahulu-mendahului untuk berbuat ketaatan kepada Allah (SWT). Kemudian ada golongan yang dapat mendahului golongan lain, merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya. Sedang golongan lain ada yang tertinggal di belakang dan mereka itulah orang-orang yang menyesal dan merasa mendapat kerugian yang besar. Oleh sebab itu adalah heran seheran-herannya ketika saya melihat ada orang yang tertawa, bermain-main pada hari seperti sekarang ini dalam bulan Ramadan, padahal di saat ini adalah hari sebahagian manusia menjadi beruntung dan berjaya , sedangkan ada sebahagian manusia lainnya yang merasa rugi dan menyesal. Yang berbahagia ialah orang-orang yang mendahului kawan-kawannya untuk mentaati Dzat Yang Maha Pencipta, dan yang merugi ialah orang yang hanya gemar melakukan kebatilan dan kesia-siaan.”
Setelah melalui sepertiga Ramadahan, eloklah kita berhenti sejenak, menilai prestasi kita dalam sepuluh hari yang telah berlalu. Antara soalan yang boleh kita tanyakan diri kita ialah:
  • Sudahkah kita memanfaatkan sebaik-baiknya kehadiran bulan Ramadan yang penuh berkat ini?
  • Sudahkah kita cuba sedaya upaya mencantikkan puasa kita?
  • Sudahkan kita memastikan anak-isteri-suami dan seluruh keluarga kita sama-sama menikmati keberkatan Ramadan ini?
  • Sudahkah kita mencapai tahap minimum pembacaan al-Quran setiap hari? Jika standard kita ialah satu juzuk sehari, maka kini sepatutnya kita telah melebihi sepuluh juzuk.
  • Sudahkan kita memastikan sunat-sunat puasa seperti bersahur disempurnakan?
  • Sudahkah kita memastikan kita tetap istiqamah dengan solat tarawih dan berazam untuk meneruskannya ke hujung Ramadan?
  • Sejauh manakah Ramadan kita tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lepas?
Kuatkan tekad untuk melipatganda amal dan beristighfar atas ketelanjuran kita.

Friday, August 12, 2011

kOmiTmEn dA'e sEjaTi


Assalamualaikum semua! :D
Komitmen Dae' Sejati ni merupakan sebuah buku karangan Muhammad Abduh.
InshaAllah bermanfaat for all da'e sekalian. x rugi baca.
Kat sini just wanna to share beberapa ayat yg best from this book.

"Bagi seorang da'e sejati, saat menapak di jalan dakwah merupakan saat pembuktian janji kepada Allah dan Rasul-Nya."

Kedudukan da'e ibarat "alarm peringatan" yg berfungsi memperingatkan manusia ketika ada bahaya mengancam.
Oleh itu, seorang da'e memiliki beberapa ciri, sifat dan karakter yg membezakannya dgn orang lain.
kita macam "ghuraba" betul x? 


so, sifat2 kita ni akan mencerminkan kebenaran yg kita bawa serta menampakkan petunjuk dan cahaya dakwah. inshaAllah.
dalam buku ni turut dinyatakan sifat2 yg da'e perlu ada.
  • mesti proaktif - jiwa yg penuh dgn kebenaran, semangat, harapan dan kesedaran. klo rasa futur (lemah) segera bangkit ke jalan yg lurus!
  • ada kemahuan yg kuat - iman yg bergelora sgt luar biasa!
  • dermawan - harapkan balasan from Allah ja
  • rela berkorban
  • tekad yg tinggi - "jihad tidak mengenal istirahat sampai pertempuran berhenti, dan saat pagi tiba, semua org akan berterima kasih kepada fajar"
  • bijaksana - 2:269, 16:125
  • teladan bagi orang lain - "duta produk"
  • peka dgn masalah umat!
  • mengoptimalkan potensi diri
  • suka beramal - aktif sebab dakwah kita berbeza dgn konsep2 buatan manusia yg lain (hasan al-banna)
  • cover 10 muwasofat tarbiyyah
penutup by kata2 Hasan al-Banna:
"Sesungguhnya, khotbah, perbincangan, tulisan, pelajaran, ceramah, mendiagnosis penyakit dan menentukan ubat penawarnya tidak cukup. Tidak boleh mewujudkan suatu tujuan, dan tidak boleh memotivasi para da'e untuk merealisasikan suatu target, kerana pada hakikatnya, setiap dakwah memiliki berbagai sarana yang harus ditempuh dan dilaksanakan. Sarana2 dakwah yang bersifat umum tidak berubah dan tidak kakan keluar dari 3 hal berikut:
  • iman yg mendalam 
  •  pembentukan (takwin) yg solid  
  •  aktivitas yg berkesinambungan

semoga kita selalu mohon pada Allah agar Dia menjadikan kita sebagai aktivis dakwah-Nya, mujahid yg tulus untuk beramal menegakkan agamaNya.
inshaAllah.
Allahuakbar! ;D 

Tazkirah 10 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

PERPADUAN UMAT LEBIH PENTING DARI PERBEZAAN KECIL HUKUM FEKAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang tidak mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.

Anas bin Malik berkata:

"Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa. (Hadis Riwayat Bukhari and Muslim)

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara-perkara khilafiyah sebegini. Ingatlah pesanan Allah:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum men golok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang men golok-olokkan) (Surah al-Hujurat: 11)

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain. Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!

Thursday, August 11, 2011

Tazkirah 9 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

BERLAPAR MENGINGATKAN ORANG SUSAH

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu roh yang penting dalam puasa ialah mewujudkan rasa kebersamaan dengan orang yang kurang bernasib baik. Puasa membolehkan kita yang berkemampuan (secara sukarela) merasa apa yang dirasai (secara terpaksa) oleh golongan yang tidak berkemampuan menikmati makanan dan minuman yang mencukupi setiap hari. Bayangkan, kita menahan diri secara sukarela sedangkan peti-sejuk kita dipenuhi makanan, kabinet dapur kita sendat dengan pelbagai bahan, tetapi mereka yang kurang bernasib baik terpaksa berlapar kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli walaupun makanan yang asas seperti beras dan minyak. Kita masih boleh bergembira kerana kita tahu, lapar kita hanya seketika, sementara menunggu berbuka tetapi bagi mereka entah malam ini, entah esok belum pasti ada cukup makanan untuk seisi keluarga.

Memberi makan kepada orang yang lapar adalah tugas mulia.

Dari Abdullah bin Amr ra ia berkata, ketika salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah (saw). "Ya Rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik". Rasulullah saw menjawab: "Memberi makan (orang yang lapar) dan memberi salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal".
(Hadis Riwayat Bukhari).

Jangan kita anggap bahawa golongan yang sebegini hanya wujud di Palestin, Kashmir atau di Somalia. Golongan yang kurang bernasib baik sedemikian mungkin wujud di kawasan atau daerah kita. Sebaik-baiknya kita cuba dapatkan maklumat keluarga atau orang perseorangan yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian di kejiranan atau dalam kariah masjid/surau kita dan sampaikan kepada Jawatankuasa surau/masjid ataupun Islamic Society untuk diambil tindakan sewajarnya.

Dua hadis berikut ini ini boleh menjadi motivasi kita:

“ Tidak beriman kepadaku siapa yang tidur kenyang padahal jirannya lapar di sampingnya sedangkan dia tahu jirannya lapar”. (Hadis Riwayat Tabarani)

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

“ Apabila anda memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiranmu dan berikanlah kepada mereka sebahagian darinya dengan baik.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun orang yang memerlukan mungkin bukan jiran sebelah rumah kita tetapi mereka mungkin jiran sekariah, sedaerah, senegeri, senegara dengan kita.

Marilah sama-sama kita merealisasikan salah satu ruh puasa ini dengan menyumbang sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Pelbagai cara boleh dilakukan; banyak peluang kini dibuka. Pokoknya tepuk dada.. tanyalah iman kita.

Tazkirah 8 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

JAGA LISAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda:

Tidaklah berpuasa itu dari makan-minum semata, tetapi berpuasa itu adalah dari perbuatan kosong dan perkataan keji. Maka jika kau dicaci orang atau diperbodohnya, hendaklah kamu mengatakan: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!”
(Hadis Riwayat Ibnu khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jelas kepada kita bahawa puasa yang berkualiti bukan sekadar menahan diri dari makan-minum. Tetapi kita perlu juga menahan diri dari perbuatan kosong (lagha). Cuba bayangkan berapa banyak perbuatan lagha yang kita buat hari ini; dari berbual kosong sehingga kepada bermain computer games, melayari facebook, membaca blog atau menonton television. Sebaliknya kita perlu menyibukkan harian kita dengan kerja-kerja yang produktif; untuk dunia dan akhirat kita. Jika mempunyai luang dari waktu bekerja mencari nafkah kita, sibukkan diri dengan membaca al-Quran, terjemahannya atau berzikir atau i’tikaf atau menghadiri majlis ilmu atau membaca buku-buku agama dan seumpamanya.

Satu lagi adab penting orang berpuasa ialah mengawal lidah dan perasaan. Orang yang berpuasa adalah seorang yang tenang, sabar dan berhati-hati dalam percakapannya. Puasa itulah membolehkan beliau untuk mengawal diri dari memberi tindak balas negatif apabila diuja dengan perkara-perkara negatif oleh orang lain. Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

Dan puasa itu merupakan perisai (junnah), maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!”.
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Annisa’i)

Begitu kuat tuntutan kita menjaga lidah ini ditekankan lagi dalam sebuah hadis lain pula di mana Nabi (saw) bersabda:

Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan kedustaan itu, maka Allah tidak merasa perlu ia meninggalkan makan minumnya.
(Hadis Riwayat Jama’ah kecuali Muslim)

Marilah kita berusaha dan berdo’a agar Allah swt mempermudahkan kita menjalani ibadah puasa kita dengan paling sempurna. Semoga puasa kita hari ini lebih baik dari semalam, dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

Tuesday, August 9, 2011

Tazkirah 7 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

BAGAIMANA MENINGKATKAN MUTU PUASA

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Nabi (saw) mengingatkan kita bahawa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?

Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima amalannya!

Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.