Pages

Sunday, August 21, 2011

Tazkirah 19 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

IQRA YANG MENGUBAH TAMADUN MANUSIA

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadan di Gua Hira’ merupakan titik tolak yang penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna sangat yang mendalam.

Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur (munajjaman). Firman Allah:

“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (Surah al-Isra’: ayat 106)
Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepada/daripada Allah melalui Rasul-Nya.

Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan. Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang kemusnahan.

Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.

Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.

Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama, ‘Iqra’.

“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka menjadi pemimpin dunia.

Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita dapat mengembalikan tamadunnya yang gemilang.

Di mana kita hendak bermula?

Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membulatkan tekad dan azam untuk membaca al-Quran,Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan Ramadan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang telah diberikan di dalam Tazkirah 17 Ramadan 1431. Semoga Allah merahmati kita.

Tazkirah 18 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

WAHYU TUHAN AMAT BERHARGA

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (surah al-Alaq:1-4)

Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung,Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdilan kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (mengambil berat) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani. Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.

Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw). Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).”

Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi. Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan. Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam pada bulan Ramadan, ketika Nabi (saw) sedang bermunajat di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda membaca.

Tazkirah 17 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

PETUA KOMUNIKASI DENGAN QURAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita perlu berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadan; bahkan sepanjang hidup kita seharian.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik dari al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan kita menghampiri al-Quran dengan cara yang betul.

Dr. Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Quran” telah meletakkan beberapa pra-syarat asas bagi kita mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perhubungan kita dengan hidayah dari Yang Maha Pencipta ini.

Pertama: Hampirilah al-Quran dengan keyakinan yang mendalam bahawa ianadalah kalam Allah; Pencipta dan Pemilik Alam Semesta. Kitab ini bukan buku biasa tetapi ia adalah kitab hidayah dari Allah. Bayangkan keagungan Ilahi dan Rahmat-Nya menurunkan kitab ini atas belas ihsan-Nya kepada kita makhluk-Nya yang kerdil di dunia fana ini.

Kedua: Bacalah al-Quran dengan tiada tujuan atau niat selain dari untuk menerima petunjuk dari Allah, untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya dan untuk mencapai keredhaan-Nya. Apa yang kita akan dapati dari al-Quran akan bergantung kepada apa yang kita niatkan. Jika kita berniat untuk mendapat hidayah, maka itulah yang kita akan diberikan. Jika kita berniat membaca sekadar untuk keseronokan kajian ilmiah, itu juga yang kita akan perolehi. Jika kita berniat untuk menunjuk-nunjuk, maka sekadar itulah yang kita akan dapati.

Ketiga: Pastikan kita sentiasa sedar dengan nikmat al-Quran yang sedang kita baca dan besyukur kepada Allah ke atas pemberiannya itu. Apabila kita insaf akan nilai al-Quran yang berada di tangan kita, semakin mudahlah bagi kita menerima saranan, arahan dan pengajaran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.

Keempat: Terimalah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setiap ilmu dan petunjuk yang terkandung di dalamnya. Dengan pasrah, penyerahan yang total, kita menerima segenap kenyataan dan arahan yang diberikan. Tiada bahagian di dalam al-Quran yang kita tolak sebagai tidak relevan atau tidak sesuai dengan zaman moden. Tiada tempat di dalam al-Quran yang bercanggah dengan ilmu sains yang sahih.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan menurut segenap titah perintah di dalam al-Quran dan menukar cara hidup kita yang sedia ada jika perlu. Untuk memahaminya, maka perlulah kita cuba memahami bahasa Arab. Jika itu tidak mungkin, kita boleh membaca terjemahan, atau tafsir atau merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu mengenai itu.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa Shaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita dari mendekati al-Quran dan menyebokkan diri-diri kita dengan hal-hal lain yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan akhirat kita. Shaitan juga akan berusaha memalingkan kita dari cuba mamahami dan menghayati ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.

Ketujuh: Yakinlah dengan Allah yang akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Quran kita. Dengan rahmat Allah-lah kita menerima anugerah al-Quran dan dengan rahmat Allah jugalah kita akan dibimbing untuk membaca, memahami dan memperolehi hidayah darinya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk membolehkan kita memperbaiki kualiti bacaan al-Quran kita kali ini.

Tazkirah 16 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

RAMADHAN BULAN AL-QURAN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:

“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (Surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:

“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa. Dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Al-Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa pada bulan Ramadan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:

“ Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).” (Surah Al-Baqarah: 185)

Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadan

menjadi kian jelas. Dalam hadis yang telah di sebut di dalam tazkirah semalam juga tertera bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadan:

“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya harian kita pada bulan Ramadan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain Ramadan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan banyaknya ayat yang dibaca tetapi juga mutu bacaan kita. Kita perlu menjaga adab-adab membaca al-Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur (tartil). Allah berfirman:

“ Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya” (Surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:

“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”. (Surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr:

“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari tempoh itu”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari. Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejar-kejaran sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini.

Wednesday, August 17, 2011

Tazkirah 15 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

MASA UNTUK MENINGKATKAN SEDEKAH, SUMBANGAN & DERMA

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Sifat pemurah merupakan salah satu daripada sifat-sifat orang beriman dan lebih-lebih lagi oleh kerana bulan Ramadan merupakan bulan kebajikan, maka sifat pemurah telah menjadi lebih terserlah. Rasulullah (saw) yang menjadi ikutan kita telah memberikan contoh yang terbaik dalam hal ini. Kedermawanan beliau pada bulan Ramadan berlipat ganda dibanding bulan-bulan lainnya, sebagaimana kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini.
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas (r.a.) bahawa:
“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kedermawanan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Ta’ala Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu-waktu tertentu seperti bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah saat Allah berderma kepada para hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api Neraka, terutama pada Lailatul Qadar Allah Ta’ala melimpahkan kasih-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih, maka barangsiapa berderma kepada para hamba Allah niscaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan.
Membantu orang-orang yang berpuasa dan berdzikir untuk senantiasa taat, agar memperoleh pahala seperti pahala mereka; sebagaimana siapa yang membekali orang yang berperang maka ia memperoleh seperti pahala orang yang berperang, dan siapa yang menanggung dengan baik keluarga orang yang berperang maka ia memperoleh pula seperti pahala orang yang berperang. Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi (saw) beliau bersabda:
“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala ovang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya. “(Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).
Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama merupakan sebab masuk Syurga. Dinyatakan dalam hadis Ali radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi(saw) bersabda:
“Sungguh di Syurga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. “ Maka berdirilah kepada beliau seorang Arab Badui seraya berkata: Untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah,?jawab beliau: “Untuk siapa saja yang berkata baik, member makan, selalu berpuasa dan shalat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur. “(Hadis Riwayat. At-Tirmidzi)
Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama lebih dapat menghapuskan dosa-dosa dan menjauhkan daripada api Neraka Jahannam, terutama jika ditambah lagi shalat malam. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Puasa itu perisai dan benteng kokoh yang melindungi seseorang daripada api Neraka”. (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam hadis lain, dari Mu’adz(ra) bahawa Rasulullah (SAW) bersabda:
“Sedekah dan shalat seseorang di tengah malam dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Kita maklum bahawa adalah sukar untuk menjaga puasa yang sempurna. Biasanya tentu terdapat kesilapan atau kekurangan. Maka sedekahlah yang bakal menampung kekurangan atau ketidak-sempurnaan ini.
Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan keikhlasan untuk beramal.

Tazkirah 14 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

TANAH AIR ISLAM DIJAJAH LAGI

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Negara haram Israel ditubuhkan melalui mandat PBB pada 1947. Pada tahun 1947 juga, sebuah tanahair Islam lain turut tergadai sehingga hari ini. Jammu dan Kashmir adalah sebuah wilayah yang terletak di sempadan utara India dan Pakistan. Ia terkenal sebagai satu kawasan mempunyai kawasan semulajadi yang amat cantik dan menarik.


Tetapi bagi Kashmir, lebih 70% penduduknya beragama Islam manakala pemimpinnya ketika itu ialah Maharajah yang beragama Hindu. Beliau telah memilih untuk bergabung dengan India manakala majoriti penduduknya mahu bersama Pakistan. Gabenor British di India telah meminta pemilihan muktamad diadakan berdasarkan satu pungutan suara. Majlis Keselamatan PBB dalam Resolusi no 47 (1948) telah bersetuju dan dengan jelas mengarahkan supaya antara lain:
“The Government of India should undertake that there will be established in Jammu and Kashmir a Plebiscite Administration to hold a plebiscite as soon as possible on the question of the accession of the State to India or Pakistan”

Semasa kemerdekaan India pada 1947, negara Pakistan ditubuhkan untuk rakyat benua kecil tersebut yang beragama Islam. Setiap wilayah yang mempunyai kerajaan sendiri ketika itu diberikan pilihan sama ada mahu bergabung dengan India atau Pakistan. Bagi wilayah yang majoriti penduduknya menganut seagama dengan pemimpinnya, itu tidak menjadi masalah.

Maksudnya: “Kerajaan India mesti menjamin penubuhan satu pentadbiran sementara di
Jammu dan Kashmir yang akan menganjurkan pungutan suara bagi menentukan
samada penduduk Jammu dan Kashmir mahu bergabung dengan India atau
dengan Pakistan”

daripada India. Namun, polisi ‘double standard’ PBB jelas kelihatan kerana berbeza dengan Iraq contohnya, PBB tidak pula menguat-kuasakan resolusinya sendiri.

Masalah terbesar ialah, sehingga kini India enggan dan menafikan hak rakyat Kashmir untuk menentukan masa depan mereka. Sehingga kini, India tetap bertegas mengaku bahawa Kashmir adalah sebahagian dari negara India. Sehingga kini pungutan suara yang diputuskan oleh PBB lebih 54 tahun yang lalu masih belum dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, India telah mengukuhkan cengkaman kuku-besinya ke atas Kashmir. Pelbagai cara telah dibuat oleh pihak berkuasa India untuk menghapuskan gerakan pembebasan Kashmir. Pejuang dan keluarga telah ditangkap, dipenjara, dibunuh dan dicabuli. Kini, lebih 500,000 askar India kini menduduki Kashmir menjadikan wilayah tersebut seperti negara polis. Sehingga kini PBB meletakkan status Kashmir sebagai ‘wilayah yang dipertikaikan’; yakni PBB sendiri tidak mengiktirafnya sebagai sebahagian

Demikian sepintas lalu berkenaan dengan sebuah wilayah umat Islam yang dijajah, sehinggakan umatnya menjadi pelarian di tanahair sendiri. Semoga kita lebih prihatin dengan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di tempat lain.

Marilah sama-sama kita mendo’akan Allah memberi jalan keluar terbaik bagi mereka.

Monday, August 15, 2011

Tazkirah 13 Ramadhan 1432

Bismillahirrahmanirrahim.

MARI KITA BERBUAT SESUATU UNTUK PALESTIN

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah isu Palestin yang belum selesai. Kita merasa amat sedih dengan penderitaan harian yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di sana. Rumah mereka diruntuhkan, anak-anak mereka di bunuh, wanita mereka dicabuli. Ini berlaku dalam tanah air kita dan mereka. Palestin adalah tanahair kita. Bumi Baitul Maqdis adalah tanah suci Islam.

Walau apa pun yang cuba disembunyikan oleh pihak zionis, Palestin adalah tanah suci Islam. Ia menjadi tanah suci Islam bukan hanya dengan isra’nya Nabi Muhammad (saw) pada tahun ke 10 kenabian. Ia menjadi bumi Islam bukan dengan penaklukannya pada zaman khalifah Umar (ra). Malah ia telah menjadi tanah air kita umat Islam sejak zaman zaman Nabi Daud (as) dan Sulaiman (as), kerana kedua-dua Nabi ini membawa agama Islam. Mereka membawa risalah tauhid dan menyeru manusia untuk tunduk dan patuh kepada Ilahi; menyerah diri atau Islam kepada Tuhan yang Maha Esa. Umat Islam kinilah yang mewarisi risalah para Nabi (as) termasuk risalah Nabi Daud (as) , Sulaiman (as) dan Muhammad (saw). Maka Palestin dan Baitul Maqdis adalah sejak asalnya tanah milik umat Islam.

Tanah ini diceroboh kini. Hanya dengan surat pendek oleh Lord Balfour pada 1917, dan mandat PBB pada 1947 negara parasit Zionis telah ditubuhkan. Pada 1922, Yahudi merupakan 11 % daripada penduduk Palestin tetapi apabila PBB menubuhkan negara Israel pada 1947 rakyat Yahudi diberikan 56% tanah Palestin. Regim haram kini merebak sehingga mereka menjajah dan menakluk sehinggakan selepas Perang Arab-Israel pertama pada 1949, mereka telah menguasai 80% dari tanah manakala 800,000 penduduk asal Palestin terpaksa menjadi pelarian.

Tetapi isunya bukan sekadar tanah-tanah yang diduduki selepas perang 1949 atau 1967. Bahkan, tanah asal Israel seperti diputuskan oleh PBB pada tahun 1947 itu pun sudah haram diduduki kerana ia dirampas dari milik kita.

Kini mereka bermaharajalela lagi. Setiap hari kita akan mendengar kematian anak-anak kita, penangkapan saudara-saudara kita, pencerobohan oleh tentera Israel ke atas rumah tangga saudara-saudara kita. Bolehkah kita berdiam diri, berpeluk tubuh melihat mereka terus menoda’i bumi tanah suci kita yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“ Tidak perlu disiapkan kenderaan untuk bepergian kecuali untuk mengunjungi tiga Masjid; Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Mungkin kita merasa kecewa; tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin kita putus asa kerana Amerika sentiasa berada di belakang dan membela segenap tindakan ganas Israel. Kita mungkin merasa lemah melihat bagaimana Israel yang telah membelakangkan begitu banyak resolusi PBB di biarkan lepas tanpa hukuman sedangkan negara Islam yang lain seperti Iraq ditekan habis-habisan walaupun hanya dengan satu resolusi PBB.

Namun, Allah akan memenangkan agamanya dan mewarisi bumi ini kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Allah swt berfirman:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).
(An- Nur: 55)

Apa yang kita perlu buat ialah berusaha untuk menukar keadaan ini dengan apa juga cara yang termampu. Paling kurang kita boleh berdo’a dan memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat kita. Setidak-tidaknya kita boleh menyumbang kepada Tabung Palestin. Dan paling penting tetapi tidak terlalu sukar ialah kita menjayakan program pemboikotan. Jika terdapat alternatif, maka tidak perlulah kita berurusan atau membeli apa juga jenama produk atau perkhidmatan yang mempunyai kepentingan Amerika; sama ada yang diimport terus atau dibuat secara berlesen atau francais oleh syarikat tempatan. Paling terkehadapan dalam bab ini ialah Mcdonalds dan Starbuck Coffee yang jelas memberi sokongan dan sumbangan kepada perjuangan zionis. Syarikat lain juga mempunyai saham dengan membayar cukai kepada kerajaan Amerika. Jika kita tidak mempunyai alternatif lain kecuali barangan Amerika, maka jadikanlah ia pilihan terakhir; buy American last.

Kita tidak mahu hasil wang yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini akan dibawa pulang ke Amerika dan seterusnya disalurkan kepada rejim zionis dalam bentuk senjata dan peluru untuk meratah tubuh-tubuh kerdil anak-anak kita di Palestin.

Ya Allah! Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan segenap tempat. Menangkanlah mereka, ringankanlah penderitaan mereka.

Ya Allah! Musnahkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu, hancurkanlah kekuatan musuh dan gagalkanlah perancangan jahat mereka.